Muncul cahaya
Silau cahaya matahari di balik langsir begitu nipis. Jalur cahayanya tampak cantik pabila terbias ke dinding bilik Arisah. Tiba-tiba, paparan skrin pada laptop nya yang terbuka itu dipukul satu bunyi. Rupanya bunyi panggilan dari satu pesanan Yahoo Messenger. Arisah berkerut, memikirkan dari siapa message ini. Tertera perkataan Rafiqin Mansurah: Assalamualaikum.
Rafiqin, pelajar tahun 2 perubatan di universiti yang sama. Mungkin Arisah tidak mengenalinya, tetapi Rafiqin sudah lama mengintainya. Anak muda ini hanya berstatus junior tetapi penampilannya yang kacak dan ranggi membuatkan ia mudah dikenali ramai. Tetapi untuk apa si budak ini mengusik Arisah? Satu soalan yang cukup berani keluar dari message Rafiqin kepada Arisah. Rafiqin Mansurah: Saya suka pada awak, sudikah awak menjadi teman hidup saya?
Arisah dapat membaca jelas bias-bias makna ayat dari Rafiqin ini. Bukannya diminta untuk menjadi isteri ataupun tunangan tetapi hanya seorang teman wanita, teman tapi mesra. Satu status yang sangat digilai ramai muda-mudi masa kini. Pada saat itu Arisah teringat kata-kata teman yang tidak bersetuju dengan arena pernikahan. “Kenapa mahu cepat kahwin? Kahwin membebankan! Kahwin menyusahkan! Mengandung nanti susah! Duit habis!” lalu apa alternatif? “Berkawan lah dahulu! Kenali hati budi dahulu! Janganlah kamu bazirkan usia muda kamu dengan komitmen perkahwinan! Sedangkan masih banyak waktu enjoy dan bertukar kenalan terbentang di luar, maka Kalau hati sudah mahu,apa salahnya bercouple! Jadikanlah couple itu pemangkin kecemerlangan! Habis cerita!”
Arisah mengenang kembali juga jawapan balasnya pada teman itu. “Agama dan amal soleh yang menyusahkan dan membebankan bagi mereka yang tidak yakin dan percaya pada Allah”
Satu baris perkataan yang padat, yang penuh keyakinan. Memberi suatu kekuatan walau berdepan ratusan hujah dan baris hentaman. Tetapi bagaimana pada kondisi Arisah kini. Di hadapannya kini hanya sebaris yang ayat yang mengharapkan ia berada pada golongan yang pernah dibela temannya lalu itu. Adakah ia mampu tegar?
Jika dahulu setiap keputusan di istikharah kan dahulu, kini jawapan Arisah tidak perlukan itu lagi. Rafiqin diterima sebagai teman lelakinya kini. Walau muda setahun, Rafiqin tetap menarik hati Arisah. Dari Yahoo Massenger yang berjela-jela, kini mereka sudah melangkah lebih maju iaitu saling berbual-bual di telefon. Bergayut dari tengah malam hingga ke subuh. Entah apa yang di bualkan, macam-macam kisah dan luahan kasih sayang. Panggilan sayang dan manja menjadi zikir mereka kini. Setelah peringkat taaruf mereka lepasi, kini beralih kepada peringkat saling ketemu. Sungai Nil yang mengalir di hadapan Syari’ Mudir menjadi lokasi. Usai dari kuliah, mereka berdua bagai belangkas terus melangkah ke tebing sungai Nil itu.
Luas dan lebarnya sungai Nil memisahkan dua tebing itu tidak menjadi ibrah kepada mereka. Saling berdua-duaan, hampirnya bahu antara satu sama lain sudah tidak diendahkan, tangan Rafiqin sudah lancar untuk di lapik pada bahu Arisah apatah lagi tangan yang mengegam. Labuhnya tudung dahulu sudah berganti dengan tudung yang lebih sesuai dengan upacara dosa mereka. Mungkin terasa malu dengan tudung sahaja.
Masa hanya berbaki sebulan sahaja lagi sebelum melangkah ke gerbang peperiksaan akhir tahun. Jika dahulu dating mereka bertemakan kasih sayang dan santai, kini kasih sayang di kepilkan bersama pelajaran, sambil dating sambil membaca. Rafiqin jadi murid, Arisah jadi guru. Sungguh harmoni!
Maka apakah mereka merasa aman dari azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman dan azab Allah kecuali orang-orang yang rugi. (Surah Al-A’raaf- Ayat 99)
Suatu pagi, semasa dalam perjalanan ke kuliah, Arisah melalui sebuah jalan pintas. Namun begitu, semasa dalam perjalanan, Arisah merasakan dirinya di ekori dari belakang. Apabila berpaling ke belakang, tiada sebarang kelibat yang mencurigakan. Lalu diayunkan kembali langkah, tiba-tiba dadanya terasa sesak, nafasnya terasa terik, matanya mulai berpinar-pinar dan kakinya terasa berat. Kemudian, seluruh alam ini gelap.
“Arisah dah sedar?” ujar Ziana apabila melihat mata Arisah yang mulai terbuka kecil.
Arisah masih dalam keadaan kabur dengan sekeliling dan apa yang telah terjadi. Dilihat dirinya terbaring di atas katil, kanan dan kirinya dilihat teman-teman sedang berdiri, tetapi kenapa semua memakai topeng? “Apa yang dah terjadi? Kenapa kamu semua pakai topeng?” tanya Arisah dengan nada yang lemah.
Masing-masing yang ada dalam bilik itu diam, saling memandang antara satu sama lain. Lalu Ziana yang memberanikan diri untuk bercakap. “Sebenarnya, kamu ditemui pengsan di tepi jalan, mujur ada arab yang menghantar kamu ke hospital, tetapi suatu lagi perkara yang aku rasa kamu patut bersabar lagi ialah,menurut doktor yang merawat, kamu dipercayai menghidap penyakit TB atau mungkin Bronchitis, tetapi semua itu kena tunggu keputusan test, insyallah kamu akan sihat”
Arisah bingung, kenapa tiba-tiba begini, apa yang akan terjadi jika ia benar-benar menghidap penyakit TB,sejak 2-3 minggu yang lalu, Arisah sedar, dia sering batuk-batuk, berat badannya kian berkurang, bahkan selera makannya pun turut berkurang dan sering keletihan, dari tanda-tanda itu, mungkin ada benarnya ia adalah penghidap penyakit TB(Tuberkulosis, penyakit batuk kering).
Sudah masuk 3 hari Arisah berada di wad, tetapi keputusan rawatan masih belum dikhabarkan lagi. Tidak ramai teman yang sudi datang melawat, mungkin ada yang takut dengan penyakitnya. Apatah lagi, besar kemungkinan TB yang dihidapi oleh Arisah adalah TB Aktif (Active TB), iaitu kategori TB yang dapat merebak dan berupaya untuk berjangkit.
Di mana Rafiqin? Arisah tercari-cari kelibat Rafiqin, di mana teman lelakinya itu. Sudah masuk 3 hari, batang hidung sang pendamping ini masih tidak muncul-muncul. Arisah cuba menghubungi Rafiqin tetapi malang, buah hatinya sering beralasan sibuk dengan persediaan peperiksaan yang kian menjelma. Ibu bapa Arisah juga turut terbatas untuk datang ketemu Arisah dalam masa terdekat itu. Jarak Mesir dan Malaysia bukanlah satu jarak yang dekat, ditambah pula keadaan kacau di Pejabat SUK kerajaan negeri Perak selepas mempunyai 2 Menteri Besar tidak memungkinkan bapanya yang bekerja sebagai kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Perak untuk meninggalkan kerja. Begitu juga ibunya yang sedang sibuk dengan mesyuarat pemilihan dan pengundian calon wanita UMNO yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Kini dia sendiri, sendiri tanpa siapa di sisi. Di mana manusia lain? Tiada siapakah yang sudi menjadi pemberi semangat kepada dirinya. Masuk hari ke-5, keputusan rawatan masih belum hadir. Tetapi hari ke-5 ini cukup memberi satu kejutan, suatu kelibat wajah yang tidak terduga muncul apabila daun pintu terbuka. Fathurahman datang! Sejenak kemudian muncul Najwa Rauhah di balik tubuh Fathurahman. Masing-masing memakai topeng, mata tajam dan kening yang lebat fathurahman cukup menghiris hati Arisah. Terasa malu, kecewa dan sedih. Di saat itu juga, Arisah menitiskan air mata, Najwa merangkul tubuh Arisah untuk menenangkannya.
“Sabarlah Arisah, kamu harus bersemangat, selagi masih ada ruang untuk kita berusaha, maka wajib kita berusaha, Insyallah, Allah bersama-sama orang yang sabar. Jika kamu merasa diri Arisah sendiri, ingatlah, Allah tidak pernah tinggalkan diri kita. Dia sentiasa menunggu dan menanti kita untuk pulang dan merintih padanya”. Kata fathurahman
“Demi Allah, saya sudah khianat pada Allah, saya jadi manusia yang kufur dengan nikmat Allah, saya jadi manusia yang teramat zalim pada diri sendiri, sedangkan saya pernah mengetahui dan mendengar peringatan Allah. Adakah masih ada ruang untuk saya di sisi Allah?” Tagisan Arisah memecah kesunyian bilik rawatan itu.
Najwa meletakkan tangannya di ubun-ubun Arisah, lalu berkata, “Akak masih ingat lagikan saat kita sama-sama berusrah dulu? Akak pernah bacakan pada saya satu surah, dan sehingga kini saya masih ingat nada bacaan akak itu. Lalu najwa membaca surah Az-zumar ayat ke 39.
“Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Dada Arisah bagaikan sudah ranap bila mendengar ayat itu. Matanya dibasahi dengan tangisan, mulutnya tidak henti-henti menyebut Allah,Allah,Allah. “Saya mahu solat, sudah 5 hari saya tidak dapat bersolat” pinta Arisah, Fathurahman keluar mencari air dan bekas untuk dijadikan air wuduk bagi Arisah. Najwa memimpin Arisah untuk bangun.
“Kita solat berjemaah? Kami berdua pun masih belum solat Isyak lagi?” kata Najwa. Arisah mengangguk sahaja tanda setuju. Fathurahman menjadi imam dan dua makmum menuruti dari belakang.
Fathurahman membacakan surah Al-Ahzab ayat ke 10-11, Arisah kenal dan faham ayat itu, kerana ayat ini pernah dibaca olehnya dahulu. Firman Allah dari ayat itu ertinya;
“Iaitu ketika mereka datang kepada mu dari atas dan bawah mu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan mu dan hati mu naik menyesak sampai ke kerongkong dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam sangkaan. Di situlah diuji orang-orang mukmin dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang sangat”.
Sekali lagi, matanya dibasahi titisan air mata yang hangat.
Usai perjumpaan dengan pasangan yang mulia ini. Arisah kembali sendirian di wad sakit. Kembali sendiri merenung diri yang sudah rosak amalnya. Di renung kembali apakah perkara yang menyebabkan dirinya rosak sedangkan terasa diri sudah banyak amal dan kukuh pada jalan Allah.
Hari esoknya, doktor datang memberitahu keputusan ujian, maha suci Allah, Arisah tidak menghidap penyakit TB, tetapi sekadar bronkitis atau radang paru-paru yang tidak kronik.
Khabar gembira itu disampaikan kepada teman-teman. Najwa dan Fathurahman adalah orang pertama yang dikhabarkan. Fathurahman menghantarkan satu pesanan pada sehelai kertas nota yang dikirimkan melalui Najwa. Dalam kertas kecil itu, tertulis;
“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhan mu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepada mu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab Ku amat lah pedih” (Surah Ibrahim ayat-7)
----THE END----
Hijau Yang Damai
di hijaudamai.blogspot.com