Bagaimana inginku luahkan cintaku kepada Rasulullah s.a.w.
Dalam Al-Quran Surah At-Taubah, ayat 24:
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah, “Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuwatirkan kerugianya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kau sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusanNya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”
Allah s.w.t. telah menegaskan bahawa, perasaan cinta kepadaNya, RasulNya dan berjihad di jalanNya semestinya diletakkan di tempat yang agung. Tinggi melampaui segala isi antara bumi dan langit termasuk ibubapa, sanak saudara, pasangan dan juga harta. Dalam hadith pula:
“Daripada Abdullah bin Hisyam ra. bahawa dia berkata: Kami pernah bersama Nabi sementara baginda memegang tangan Umar bin Khatthab ra, maka Umar berkata kepada beliau: Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai dari segala sesuatu kecuali diriku. Maka Nabi bersabda: Tidak, demi Allah yang jiwaku ada di tanganNya! Hingga kamu lebih mencintai aku daripada dirimu sendiri. Umar berkata kepadanya: Sesungguhnya sekarang engkau lebih aku cintai dari pada diriku sendiri. Nabi bersabda: Sekarang, wahai Umar.”
(H.R Bukhari).
Melalui hadith di atas, jelas kepada kita bahawa kecintaan yang paling utama adalah cinta kepada Allah dan Rasulullah. Keimanan seseorang tidak akan sempurna sekiranya kedua-dua kecintaan ini tidak diletakkan pada tempatnya. Para sahabat telah disemai dengan sikap dan perasaan ini semenjak awal keislaman mereka sehingga setiap mereka kembali bertemu Allah. Ini jelas dalam peristiwa perang Uhud yang memperlihatkan kesungguhan mereka untuk mempertahankan Rasulullah daripada dicederai oleh musuh. Abu Bakar As-Siddiq lah yang pertama sekali sampai setelah mendengar laungan daripada Rasulullah, kemudian diikuti oleh Abu Ubaidah Al-Jarrah yang cuba mengeluarkan serpihan besi dari dahi baginda. Para sahabat lain juga tidak ketinggalan dalam melindungi Rasulullah termasuklah Abu Dujanah, Mus'ab bin Umair, Ali bin Abi Talib, Sahl bin Hanif, Malik bin Sinan bapa Abu Said al-Khudri, Qutadah bin al-Nu'man, Umar bin al-Khattab, Hatib bin Abi Baltaah dan Abu Talhah. Nusaibah binti Kaab yang turut serta dalam peperangan itu diceritakan tetap gagah menentang tentera Kafir walaupun tengkuknya telah ditetak dan luka parah. Kita pasti kehairanan, apakah yang membuat mereka semua begitu ghairah berjuang walaupun nyawa mereka mungkin terkorban? Apakah yang menyebabkan mereka sanggup menjadi benteng kepada seorang lelaki yang ummi?
Jawapannya, tidak lain dan tidak bukan, terletak di dalam hati mereka. Hati-hati yang bersih, hati-hati yang diisi dengan kemanisan Iman dan kecintaan kepada Islam. Kita banyak mendengar kisah kekasih yang sanggup berkorban demi cintanya. Namun, kisah-kisah dongeng ini pastinya tidak dapat mengatasi hakikat kecintaan para sahabat kepada Rasulullah s.a.w. Peristiwa di perang Uhud hanyalah satu daripada seribu catatan sejarah yang menyaksikan kesungguhan dan keagungan cinta golongan terdahulu kepada Rasulullah s.a.w.
Mari kita merenung akan realiti umat pada hari ini. Cinta mula diletakkan pada tempat yang amat berbeza. Istilah cinta itu sendiri mula disaluti oleh nafsu dan hawa. Mereka yang dilabel sebagai kekasih adalah mereka yang sering berjalan bersama, berbual bersama, makan bersama dan sebagainya. Cinta kini mudah diungkapkan melalui rangkap-rangkap qasidah yang berbunga, kata-kata indah dan lagu-lagu yang mengasyikkan. Apabila ditanya: Adakah kamu mencintai Nabi? Mereka akan menjawab: Itu sudah pasti. Umat kini mudah menghafal sifat-sifat nabi, nama-nama nabi dan kisah-kisah nabi, tetapi jelasnya mereka tidak mampu menghayati dan mendalaminya. Penghafal-penghafal pula sudah dilabel sebagai pencinta-pencinta sedangkan mereka hanya mengetahui fakta dan data seperti kotak komputer yang tidak punya perasaan.
Kita sewajarnya kembali kepada zaman yang terdahulu, zaman generasi Al-Quran yang unik. Kembali hidup bersama semangat dan kefahaman mereka. Maka kita mestilah rujuk berdasarkan kaedah dan dasar “belajar untuk melaksanakan”, bukan dengan kaedah dan dasar belajar untuk mengetahui dan menglipur lara; kita rujuk kepadanya untuk mengetahui apa yang sebenar diminta kita lakukan, maka kita lakukan; dan di dalam perjalanan itu kita akan bersua dengan keindahan seni Al-Quran, dengan cerita dan kisah yang menyeronokkan. Sejarah yang perlu diketahui oleh semua orang yang bergelar Islam dan pengikut Rasulullah s.a.w.
Seribu empat ratus tahun sudah berlalu, kisah-kisah agung kini tinggal di dalam buku-buku sejarah yang hanya diselak apabila datangnya Maulidur-Rasul. Kata-kata cinta hanya tinggal dalam selawat dan alunan nasyid. Siapakah yang akan mempertahankan Islam? Siapakah yang akan mengajak manusia kepada Islam?
Mulakanlah langkah kita dengan mempelajari sejarah Rasulullah, mendalami kefahaman Islam yang jelas dan indah. Tidak kenal maka tak cinta. Kenalilah jalan yang diikuti oleh baginda s.a.w., jalan yang lurus dan diredhaiNya.
قُلْ هَـذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا ْ وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللّهِ وَمَا أَنَاْ مِنَ الْمُشْرِكِين
“Katakanlah (Muhammad), “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik.”
(Surah Yusuf:108)
Usah dipendam gejolak cintamu kepada kekasih...luahkan melalui pengorbanan dan kesungguhanmu...biarlah darah dan keringatmu yang berkata-kata...
Last Updated ( Friday, 14 December 2007 )
artikel dari: msmonline.info