salam,
pihak JAKIM (jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia) telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa amalan membaca doa awal n akhir tahun adalah tidak thabit dari sunnah, bahkan hadisnya palsu.
Amalan Berdoa Awal dan Akhir Tahun
Written by al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Thursday, 18 January 2007
oleh: al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Semalam, 17 januari 2007, dalam satu kuliah untuk muslimat tentang ma`al hijrah, seorang muslimat menimbulkan persoalan: amalan-amalan yang sudah biasa dilakukan oleh orang Melayu sejak beberapa lama tentu ada sandarannya daripada al-Quran dan Sunnah. Contohnya amalan berhimpun malam nisf Sya`ban. Persoalan ini beliau timbulkan apabila saya membangkitkan persoalan amalan baca doa awal dan akhir tahun. Menarik juga soalan dan hujahan ini.
Ia menggambarkan cara berfikir masyarakat awam. Mereka meletakkan keyakinan penuh kepada ahli-ahli agama. Amalan yang telah dilakukan oleh ahli-ahli agama sejak berzaman tentu ada sandarannya. Ahli-ahli agama yang dimaksudkan oleh saya di sini ialah para imam di masjid dan surau dan mereka yang bergelar “asatizah” ; guru-guru agama.
Keyakinan tinggi mereka kepada perlakuan ahli agama ini memang tepat. Orang yang jahil tentu bergantung ilmu kepada yang lebih alim. Dalam konteks masyarakat awam tentu mereka menggantungkan kepercayaan ilmu sepenuhnya kepada ahli agama yang hampir dengan mereka. Mereka yakin, ahli agama tentuna merujuk kepada al-Qur’an dan hadith.
Tinggal lagi persoalan ialah bagi pihak ahli agama itu sendiri. Adakah amalan yang dilakukan adalah berasaskan ilmu dan pengkajian? Dengan merujuk kepada al-Qur’an dan hadis? Merujuk kepada tulisan ulama mu`tabar? Atau berdasarkan ikutan pada perlakuan orang sebelumnya? Ahli agama perlu sentiasa menambahkan ilmu. Perlakuan mereka mesti berasaskan ilmu. Maksud ilmu ialah dengan merujuk kepada al-Qur’an, al-Hadith dan perbahasan tokoh-tokoh ulama.
Persoalan yang penting di sini; adakah amalan membaca doa awal dan akhir tahun dilakukan oleh tokoh-tokoh ulama? Adakah ia sememangnya disebut oleh ulama-ulama besar hatta dalam mazhab Shafi`I? Saya melihat amalan membaca doa ini hanya dinukilkan dalam buku-buku amalan yang ditulis dan disebarkan secara meluas di alam Melayu. Buku-buku ini pula tidak menyebut sumber rujukan amalan tersebut. Apa hadithnya? Siapakah kalangan ulama silam yang memperakuina? Justeru, masalah sebenarnya ialah pada penulis-penulis buku-buku amalan ini. Mereka sebenarnya hanya mencatatkan amalan itu berasaskan amalan yang telah diterima turun temurun diamalkan di masjid-masjid dan surau-surau. Bukan berasaskan rujukan kepada tulisan ulama muktabar. Di sinilah masalahnya.
Hari ini rujukan para guru agama lebih meluas. Mereka merujuk kepada tulisan-tulisan ulama-ulama terkenal di zaman silam dan ulama terkenal kontemporari. Mereka mendapati amalan membaca doa awal dan akhir tahun ini tidak disebut oleh para ulama terkenal. Amalan ini tidak pernah berlaku dizaman Rasulullah saw malah pada zaman sahabat. Ia juga tidak diamalkan oleh tokoh=tokoh ulama. Bagimana ia menyerap masuk dan diamalkan di alam Melau? Saya tak ada jawapan bagi persoalan ini.
Apa pun, tinggalkan hakikat ini dulu. Kita berpindah pada hakikat yang lebih penting, yang boleh menentukan samada amalan yang dibuat itu tepat atau tidak. Cukup untuk memahami persoalan ini dengan merujuk sejarah penentuan tahun Islam. Ia hanya berlaku pada zaman Umar iaitu pada tahun ke 17 hijrah. Ia dinukilkan oleh Abu Nu`aim dalam karya tarikh beliau. Sebelumnya umat Islam hanya menggunakan hari dan bulan tanpa tahun. Umar yang berijtihad mencipta tahun berdaarkan peristiwa hijrah Rasulullah saw. Justeru ia dikenali sebagai Tahun Hijri. Umar juga ang berijtihad menentukan Muharram sebagai bulan pertama bagi calendar hijri ini.
Ceritanya panjang akan saya bicarakan kemudian. Jadi, kalau penentuan tahun berlaku zaman umar, tentunya penentuan awal tahun juga berlaku zaman Umar. Jika berlaku zaman Umar, amat mustahil amalan membaca doa awal tahun dan akhir tahun berlaku zaman nabi. Juga amat mustahil doa itu dibaca oleh Nabi saw.
Justeru, jangan sama sekali menyandarkan amalan tersebut kepada nabi saw. Jangan menyandarkan doa tersebut kepada nabi! Inilah keyakinan yang salah! Begitu juga dengan amalan membca Yasin dan diniatkan tiga perkara; panjang umur, murah rezki dan mati dalam iman. Tak ada satu nas daripada ulama yang menggesa umat melakukan amalan ini. Apatah lagi sumber Islam iaitu al-Qur’an dan Sunnah.
Amalan berdoa awal tahun dan akhir tahun serta membaca Yasin dengan tiga niat tadi tidak pernah dilakukan oleh para sahabat. Bahkan juga para ulama yang mu`tabar. Justeru, kenapa begitu bersemangat untuk melakukan amalan yang tidak dilakukan oleh generasi awal Islam dan tokoh ulama Islam? Baginda bersabda:
مَنْ أَحْدَثَ فِيْنَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: “sesiapa yang mengada-adakan di kalangan kami sesuatu yang bukan daripadanya (agama) maka ia tertolak”. Namun, untuk berhimpun di awal tahun, bagi saya tidak ada kesalahannya. Sememangnya kita sepatutnya berhimpun setiap malam di rumah-rumah Allah. Tapi jadikan malam itu sebagai malam ilmu dengan disampaikan kuliah tentang Islam dan sejarah hijrah Rasulillah saw. Alangkah baiknya.
Tapi, macamana kalau mereka nak lakukan juga? Kata Imam Ahmad; jelaskan kepada umat apa itu sunnah, dan jangan bertekak bertegang leher! Jadi, sampaikan kepada mereka apa yang benar. Jika mereka berdegil, biarkan….mudah-mudahan di kesempatan lain boleh kita betulkan. Jangan pula lari meninggalkan masjid. Jangan jadikan dia sebagai medan perpecahan ummat. Perlakuan membaca Yasin bukannya haram. Tapi keyakinan mereka yang mesti diperbetulkan.
source: