Cerpen Sempena Pelancaran Unit Hisbah Perubatan Cawangan Mansurah (PCM)Sesi 08/09“Aduh, macam mana ni?” getus suara hati meruntun penyelesaian.
“Helmi, kita kena gerak sekarang, kita terima laporan ada kes di kawasan Masjid Salab!”, tegas Saiful Muaz tanda serius bicara ini.
“Baiklah Saiful, dalam 5 minit lagi, kita jumpa depan Blok C nanti, aku bersiap dulu”. Balas Helmi dengan hati yang berat.
Dalam kepalanya berkecamuk, kenapa mudah sekali memberi persetujuan, walhal esok peperiksaan kertas Fisiologi. Ditambah pula, malam ini cukup dingin sekali, hawa sejuknya seakan menghiris-hiris ke tulang. Direnung buku Fisiologi yang seakan lemau menunggu tuannya. Kerusi dan meja seolah-olah memandang sinis.
“Ya Allah, kuatkanlah iman ku sebagai mana iman para rasul-Mu”, gertak hati nurani terhadap usikan dan bebanan yang nafsu cuba timpakan.
Helmi, segera mencapai baju kulit yang telah dihadiahkan oleh bekas calon mertuanya. Dikebas-kebas baju itu, tanda menghalau debu yang sekian lama selesa di atasnya. Mungkin sudah terlalu lama baju itu dibiarkan sepi di sudut rumah dan hati.
Kasut di capai dari rak, pintu rumah dibuka. Dengus angin sejuk di luar sana cukup meremangkan bulu-bulu roma. Helmi melangkah turun meniti anak tangga dari rumahnya yang berada di tingkat 2.
“Fuhhh.. sejuknya!” ujar hati.
Angin dingin beku melanggar pipi yang hangat ini benar-benar menjentik semangat. Terbayang wajah bilik, kerusi yang empuk, hawa panas di bilik, secawan kopi yang panas dan wajah teman-teman serumah yang sedah khusyuk membaca dengan seribu ketenangan. Tiba-tiba bisikan dihati mulai mengusik “Itulah! Siapa suruh kamu sanggup jadi ahli unit Hisbah!”.
“ Ya Rabbi, hebatnya pilihan yang diberi ini. Benarlah, bukan senang untuk mengaku diri ini beriman”.
38. Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. (surah At-taubah)
Dengan gopoh hayunan kaki dilajukan, bimbang terlalu lewat. Kasihan juga pada Saiful jika dia sudah lama menunggu di luar sana. Setibanya di hadapan blok C, Saiful melambai-lambai tangannya tanda disuruh kemari.
“Cepat, kita naik teksi untuk ke sana!” balas Saiful kepada Helmi yang masih terpinga-pinga mencari nafas.
Saiful menarik tangan Helmi, ditariknya ke seberang jalan. Sebuah teksi berhenti, Saiful dan helmi cepat-cepat memasuki teksi tersebut. Teksi tersebut dipandu laju di tengah kesesakan jalan. Setibanya di hadapan pasar raya Metro, Saiful meminta pemandu memberhentikan mereka di sini.
“ 2 genih bukan 1.50 genih!” rengus pemandu teksi tersebut. Saiful tergopoh-gopoh menyeluk sakunya, dicari-cari 50 sen untuk menambah bayaran.
“Nasib baik, aku bawak 2 genih cukup-cukup kalau tak,memang kena nyanyalah kita”.
Sempat Helmi merenung gelagat Saiful. Dalam hatinya timbul pelbagai bolak balik tentang kejadian pada malam ini. Bukan sahaja masa belajar terbuang, bahkan duit turut menjadi mangsa.
Susahnya.
“Saiful, kat mana budak yang buat hal tu?”, ujar Helmi dengan nada tidak sabar dan menahan sejuk. Tangannya dibiarkan saja diseluk ke dalam saku.
Saiful cepat-cepat menekan butang telefon bimbitnya dan menunjukkan pesanan ringkas yang diterimanya sebagai tanda bukti bahawa ada laporan yang mengatakan bahawa terdapat beberapa pasangan pelajar pergigian berpelesiran di sekitar tebing sungai berhampiran Masjid Salab dan pada masa yang sama juga terdapat ramai pelajar perempuan tanpa musyrif kepelesiran di waktu sebegini di kawasan yang sama.
Tanpa melengahkan waktu, mereka berdua terus melaksanakan tugas. Tugasnya tidak setampan tugas perdana menteri, hanya berbekal teguran dan nasihat pada sasaran mereka. Nasihat yang berintonasi simpati dan rasa tanggungjawab.
“Abang ni kenapa suka menyibuk urusan orang lain!”
“Ikut suka hati saya lah, busybody !”
“Jangan suka jaga tepi kain orang, berambus!”
“Kami tak buat apa-apa, kami duduk sambil sembang-sembang aje, rilex la bang!”.
Respons yang diterima setiap kali tutur teguran bermula sangat menghampakan. Jarang sekali ketemu yang mengaku salah, yang hanya cemuhan dan cacian. Alangkah tebalnya kulit muka ini. Saiful tenang dalam sabar, tapi Helmi sudah mula mengetap bibir dengan dengus nafas semakin berombak.
Saiful merenung gelagat Helmi yang mulai hilang sabarnya. Mungkin sudah tidak tahan melihat gelagat kurang ajar adik-adik seagama, senegara bahkan sebangsa ini.
“Mereka ni tiada hati perut ke Saiful! Kita sanggup bersejuk tubuh, korbankan masa study, korban duit, takkan mereka tak fikir! Mereka ingat kita datang Mesir ni nak jaga tepi kain orang ke! Kalau mereka ni adik aku, memang lembik aku kerjakan!” laung Helmi dengan mata yang terbeliak luas. Marahnya bukan kepalang, telinga yang pucat tadi sudah bertukar merah.
Saiful menepuk-nepuk lembut bahu Helmi, dimintanya untuk beristighfar. Saiful tenang membacakan sepotong hadis pada Helmi sebagaimana sabda baginda yang berbunyi demikian
“Sesungguhnya manusia itu apabila mereka melihat kejahatan kemudian mereka tidak mengubahkannya (supaya jangan lagi berulang kejahatan itu) maka hampirlah azab Allah ditimpakan ke atas mereka”.
Helmi kembali tenang setelah mendengar hal ini.
“Kita bukan sahaja menolong mereka tetapi menolong diri kita sendiri, ada sebuah kisah Allah hendak membinasakan sebuah kaum yang mempunyai 40 ribu orang jahat dan 60 ribu orang baik. Lalu seorang hamba Allah yang soleh berkata: “Wahai Tuhanku, mereka orang-orang yang jahat itu tak mengapalah! Kerana mereka sememangnya orang-orang yang jahat, tetapi apa halnya dengan orang-orang yang baik?” Allah berkata: “Mereka itu (orang-orang baik) tidak marah kepada kemungkaran dan kejahatan yang Aku murkakan bahkan mereka makan dan minum bersama mereka yang jahat itu pula.”
“Maafkan aku Saiful, aku tak biasa buat kerja seperti ini sebelum ini, kadang-kadang terasa berat dan lemah untuk laksanakannya apatah lagi sanggup menahan telinga mendengar cemuhan dan gelagat kurang ajar seperti ini”. Ujar Helmi dengan anjung dahi yang berkerut.
Saiful kembali membacakan sebuah hadis, dibibirnya kelihatan asap berkepul-kepul berhembusan. Suasana pada malam ini cukup diingin, tetapi masih ramai yang bertahan dengan kepanasan dosa.
Daripada Abu Hurairah r.a ia berkata: Nabi S.A.W pernah bersabda : Barang siapa yang menambat kuda pada jalan Allah kerana percaya dan yakin pada janji Allah, maka bahawasanya, kenyangnya dan puasa dahaganya dan tahi serta kencingnya adalah dalam timbangan-Nya pada hari kiamat.
HYD
[You must be registered and logged in to see this link.]