Penanaman implan ganti gigi kekal
MEMILIKI senyuman menawan menjadi impian setiap wanita, malah ada yang sanggup membelanjakan wang sehingga ribuan ringgit hanya untuk mendapatkan barisan gigi yang tersusun indah apabila senyuman dilemparkan.
Bagaimanapun, apabila usia semakin meningkat ditambah dengan pemakanan dan gaya hidup yang tidak terjaga, seseorang cenderung mengalami masalah kehilangan gigi. Satu kajian kesihatan oral bagi orang dewasa di Malaysia mendapati, akan berlaku kejadian kehilangan gigi apabila umur meningkat.
Kehilangan gigi hadapan atau belakang biasanya digantikan dengan gigi implan atau dikenali sebagai teknik menanam gigi.
Pensyarah Pembedahan Mulut dan Maksilofasial di Fakulti Pergigian Universiti Malaya (UM), Dr Michael Ong Ah Hup, berkata secara klinikal, penanaman implan dilakukan pesakit berusia yang berdepan masalah kesihatan seperti penyakit gusi dan tabiat merokok.
Katanya, implan diperbuat daripada titanium yang mana permukaannya direka bagi menguatkan integrasi tulang (osseointegration) supaya mampu bertahan lebih lama dan memenuhi jangkaan di kawasan gusi yang mengalami penyusutan.
“Apabila pesakit menjalani rawatan ini, mereka cenderung untuk memberi lebih perhatian terhadap prosedur pembedahan oral dan maksilofasial yang lain,” katanya ketika menyampaikan syarahan Pemuliharaan Tulang Yang Mengalami Penyusutan Dengan Implan bagi Mencapai Senyuman Menawan dan Perfungsian di UM, baru-baru ini.