Gigi berlubang risiko jangkitan mulut (utusan online)
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNANSIAPA berus gigi sekali sahaja dalam sehari? Ramainya! Patutlah sembilan daripada 10 rakyat Malaysia giginya berlubang-lubang.
Data penggunaan pasaran Asia mendapati, rakyat Malaysia secara puratanya menggosok gigi kurang sekali sehari berbanding saranan doktor gigi, sekurang-kurangnya dua kali sehari menggunakan ubat gigi berflourida.
Doktor turut menyarankan berus gigi ditukar setiap tiga bulan atau empat kali setahun. Tetapi, tahukah anda? Purata rakyat Malaysia hanya menukar berus gigi mereka setelah masuk bulan ketujuh.
Tidak hairanlah sekiranya penggunaan regimen kebersihan mulut yang lengkap termasuk flos/penyerat gigi dan kumuran di Malaysia adalah lebih rendah berbanding negara-negara Asean lain.
‘‘Kesihatan mulut mempunyai kaitan yang rapat dengan penyakit seperti diabetes, jantung dan bayi dilahirkan kurang berat badan bagi ibu bapa yang menghidap penyakit gusi kronik. Pun begitu, ia sering diabaikan.
“Kebanyakannya hanya berjumpa doktor gigi setelah timbul masalah seperti kaviti dan penyakit gusi. Ia sudah terlambat, banyak kerosakan yang telah terjadi,’’ kata Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Dr. Wong Foot Meow.
Menurutnya, kaviti atau lubang pada gigi sangat dipengaruhi oleh gaya hidup, pemakanan - makanan dan minuman yang manis dan cara mana kita menjaga kebersihan gigi. Apabila bakteria dan gula bertindak balas di atas permukaan gigi dan kekal di situ, kerosakan boleh berlaku.
“Kaviti merupakan salah satu daripada masalah kesihatan paling biasa di dunia. Walaupun ia selalunya berlaku di kalangan kanak-kanak namun orang dewasa dan bayi tidak terkecuali.
“Jika tidak dirawat, lubang bertambah besar dan kereputan semakin teruk hingga menyebabkan sakit gigi serius, jangkitan, gigi rongak dan lain-lain komplikasi,’’ ujarnya.
SimptomSakit gigi berdenyut-denyut hingga terjaga dari tidur – gigi sensitif – gigi berlubang – kesakitan yang ringan hingga menusuk apabila makan atau minum sesuatu yang sejuk, panas atau manis – bengkak muka dan kelenjar leher – demam – nanah sekeliling gigi.
Faktor risiko* Jika anda tidak memberus gigi selepas makan atau minum, plak akan terbina dan menghakis gigi anda
* Makanan dan minuman tertentu. Karbohidrat penapaian seperti gula dan kanji hampir masak merupakan masalah terbesar. Contohnya, susu, madu, gula, soda, kismis, kek, gula-gula keras, pudina pernafasan, buah-buahan kering, biskut, bijirin kering, roti dan kerepek kentang.
Sebaliknya, sesetengah makanan yang dianggap penyebab utama kerosakan gigi sebenarnya tidak. Misalnya gula-gula, jeli kacang dan karamel melekit dan manis seperti gula senang disingkirkan oleh air liur berbanding kerepek kentang yang melekat pada gigi.
* Kerap mengudap atau menghirup sesuatu seperti soda, memberikan asid lebih masa untuk menyerang gigi. Ibu bapa tidak digalakkan memberi anak-anak mereka botol penuh berisi susu, jus atau lain-lain cecair bergula pada waktu tidur, yang akan kekal pada gigi selama beberapa jam lalu menyebabkan hakisan kereputan gigi botol bayi.
* Minum air botol atau air ditapis yang tidak mengandungi fluorida. Fluorida berlebihan juga tidak baik untuk kanak-kanak dan bayi.
* Pertambahan usia dan faktor genetik
* Mulut kering. Air liur memainkan peranan penting untuk mencegah gigi mereput kerana ia menyahkan makanan dan plak. Mineral di dalam air liur membantu memperbaiki kereputan gigi yang baru bermula. Di samping meneutralkan asid, air liur turut mengehadkan pertambahan bakteria yang melarutkan enamel gigi dan mendorong jangkitan mulut.
* Tampalan gigi yang bertambah lemah selepas beberapa tahun mungkin tertanggal atau menyebabkan sisinya menjadi kasar. Ini akan membentuk plak
* Gusi yang menyusut memberikan ruang kepada plak terbentuk pada akar gigi
* Gangguan pemakanan seperti anoreksia dan bulimia boleh mencetuskan kaviti dan hakisan gigi ketara hasil asid perut daripada muntah
* Pedih ulu hati menyebabkan asid perut mengalir keluar memasuki mulut
* Rawatan kanser tertentu seperti radiasi kepala dan leher
Bila perlu berjumpa doktorSakit gigi/gigi sensitif terhadap makanan atau manis, panas atau sejuk – anda mengelak daripada membersihkan bahagian gigi tertentu kerana sakit – gigi berlubang – gusi merah dan bengkak – gusi berdarah semasa memberus gigi – gusi menyusut/terdedah di sepanjang garis gusi/pangkal gigi-gusi, menjadikan gigi kelihatan lebih panjang – gigi menjadi jarang, longgar – rasa tidak sedap di dalam mulut - nafas berbau – perubahan pada cara gigi atas dan bawah bersentuh – nanah sekitar gusi dan gigi.
Kesakitan – gigi bernanah – gigi tercabut – gigi patah – masalah mengunyah – jangkitan serius. anda mungkin tidak ambil kisah jika gigi susu anak-anak berlubang kerana ia biasa terjadi.
“Jangan ambil mudah kerana ia boleh menyebabkan komplikasi serius dan berpanjangan sekalipun kanak-kanak belum tumbuh gigi kekal. Apabila kesakitan semakin teruk, ia boleh menjejaskan kehidupan seharian seperti menghalang pesakit ke sekolah atau bekerja,’’ jelas Dr. Wong.
Seterusnya, pesakit sukar untuk mengunyah atau makan, berat badan merosot dan mengalami masalah pemakanan.
Gigi rongak boleh meninggalkan kesan terhadap harga diri seseorang. Dalam kes-kes terpencil, nanah boleh mencetuskan jangkitan serius malah mengancam nyawa jika tidak dirawat.
Rawatan* Rawatan fluorida. Mineral dalam bentuk cecair, gel, busa, varnis atau tablet yang diberus ke gigi atau ditempatkan di dalam bekas yang dimuatkan pada gigi ini berupaya meningkatkan ketahanan gigi daripada menjadi reput.
* Tampalan. Mengisikan bahan yang tersedia khas ke dalam gigi berlubang yang telah siap dikorek oleh doktor gigi. Ia merupakan pilihan rawatan utama apabila kereputan telah berkembang melebihi proses penghakisan enamel awal.
* Korona/crown. Pemulihan pergigian yang menutup kebanyakan atau semua korona semulajadi, bagi kes kereputan meluas.
* Saluran/kanal akar. Apabila kereputan sudah teruk dan sampai ke dalaman gigi, pulpa gigi akan dikeluarkan dan digantikan dengan tampalan.
* Gigi yang reput teruk mungkin terpaksa dicabut keluar sepenuhnya.
Pencegahan* Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari – selepas makan dan sebelum tidur atau berkumurlah selepas makan minum. Gunakan serat gigi/floss untuk membersihkan celahannya.
* Lakukan pemeriksaan dan pembersihan gigi profesional secara berkala – kanak-kanak bermula usia dua tahun setelah semua gigi susunya tanggal manakala bagi orang dewasa, purata sekurang-kurangnya setahun sekali
* Elakkan terlalu kerap mengudap dan menghirup sesuatu
* Hindari makanan yang boleh terperangkap di alur dan lubang gigi untuk jangka masa panjang. Contohnya, kerepek, gula-gula atau biskut. Sebaliknya, makan makanan yang mampu memberikan perlindungan kepada gigi seperti keju yang berdasarkan beberapa kajian mendapati, ia membantu mencegah kaviti.
Begitu juga dengan, buah-buahan dan sayur-sayuran yang meningkatkan aliran air liur dan; kopi tanpa pemanis, teh serta gula-gula getah tanpa gula yang menyingkirkan partikel makanan.
* Sesetengah orang sememangnya rentan terhadap kereputan gigi, misalnya disebabkan oleh masalah perubatan tertentu
* Memakai bahan pengetat penutup rekahan pada permukaan gigi
Tip menguruskan sakit gigi
* Bersihkan semua bahagian gigi dan mulut anda, tidak ketinggalan kawasan yang sakit
* Gunakan air suam untuk memberus gigi
* Gunakan ubat gigi khas untuk gigi sensitif
* Elakkan makanan atau minuman panas, sejuk atau manis yang boleh mencetuskan kesakitan
* Dapatkan pelega kesakitan dari farmasi sebagaimana yang disarankan oleh doktor anda